Assalammualaikum dan salam sejahtera... terima kasih tak terhingga kerana sudi singgah di blog kami... segala keperihatinan dan sumbangan amat kami hargai...
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
Al-Baqarah ayat 268

Sabtu, 27 Ogos 2016

ARTIKEL METRO- Majlis Pecah Tanah Bangunan Asrama PKAYIL




Hai Rozzaman Jalal
rencana@hmetro.com.my

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Ledang (PKAYIL) Tangkak bakal mempunyai bangunan asrama sendiri dilengkapi pelbagai kemudahan yang mampu menempatkan 100 anak yatim.
Kompleks menelan kos RM4.14 juta itu dibina di tanah seluas 1.5 ekar bersebelahan pejabat KEMAS Daerah Tangkak di Sagil, kira-kira 8 kilometer dari bandar Tangkak.
Yang Dipertua PKAYIL, Ab Han Ramin berkata, penubuhan PKAYIL pada 7 Julai 2008 menjadi nadi dan platform untuk membela dan memberikan kasih sayang kepada anak yatim yang mengharapkan kehidupan dan kejayaan sebagaimana rakan mereka yang masih mempunyai ibu bapa.
Katanya, bagi memenuhi hasrat itu, Ahli Jawatankuasa PKAYIL mengambil inisiatif mendapatkan dua rumah di Taman Sri Tangkak untuk dijadikan asrama bagi menempatkan anak yatim lelaki dan perempuan buat sementara waktu.
“Pelbagai usaha dilakukan bagi mendapatkan tapak dan dana untuk membina kompleks asrama dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan anak yatim di bawah jagaan PKAYIL.
“Berkat semangat dan usaha semua pihak dalam menyantuni anak yatim Islam di Tangkak, akhirnya sebuah kompleks asrama untuk mereka bakal dibina dan dijangka siap dalam masa setahun.
“Pembangunan asrama ini sesuai untuk menempatkan anak yatim kerana persekitarannya dikelilingi institusi pengajian dan kemahiran yang memerlukan amal bakti masyarakat Islam sama ada korporat atau individu menyalurkan sumbangan pembinaan dan pengurusannya,” katanya pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembinaan Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Ledang (PKAYIL) di Dewan KEMAS Tangkak, dekat Sagil, baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pembinaan Asrama PKAYIL, Datuk Abdul Rahim Talib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan ADUN Gambir, Datuk M Asojan.
Pada majlis itu, Ab Han menerima sumbangan daripada 15 penyumbang bagi pembinaan asrama itu termasuk daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar (RM100,000), Datuk Seri Jamil Khir (RM10,000), Faradisse High Sdn Bhd (RM1 juta) dan UMNO Bahagian Ledang (RM10,000).
Sementara itu, Jamil Khir dalam ucapannya berkata, pendekatan untuk menyantuni anak yatim perlu diuruskan dengan lebih sistematik dan terancang.
“Sudah tiba masanya usaha menyantuni anak yatim dilakukan dalam skala besar bagi memperkukuhkan usaha membela kebajikan golongan itu di negara ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai PKAYIL boleh menghubungi Setiausaha, Dasuki Mohd Nor di talian 019-6583578 atau 06-9785667 (pejabat PKAYIL).

Galeri gambar (sila klik sini)









Rabu, 22 Jun 2016

PROGRAM INSPIRASI RAMADAN YaPEIM 1437H


 Anak-anak Dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Ledang (PKAYIL) antara menerima sumbangan

PROGRAM INSPIRASI RAMADAN YaPEIM 1437H

Di Bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah mengambil satu pendekatan bagi merai dan memberi penghargaan anak-anak yatim/miskin di 13 lokasi seluruh Negara di bawah Program “INSPIRASI RAMADAN YaPEIM 1437H”.
Program ini adalah satu pendekatan YaPEIM untuk memberi sumbangan Aidil Fitri kepada kumpulan sasar termasuk pengisian ilmu melalui slot Ceramah Agama yang disampaikan semasa program tersebut. Melalui program ini, dijangkakan seramai lebih kurang 20,000 orang anak yatim/miskin yang akan turut menerima sumbangan tersebut di seluruh Negara.
Khusus untuk Program “INSPIRASI RAMADAN YaPEIM 1437H” yang telah di laksanakan di Masjid Sultan Ismail, Kg Kenangan Dato Onn, Batu Pahat, Johor pada 22 jun 2016, yang telah dihadiri oleh seramai lebih kurang 1000 orang. Majlis tersebut telah di sempurnakan oleh Dato Abibullah Hj Samsudin (Ketua Pengarah / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM) dan turut hadir ialah Ustaz Haji Baharudin bin Yaman @ Abd Ghani (Pengarah Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia); En Sajali bin Ibrahim (Penolong PPD Sek Men Batu Pahat), Ustaz Hj Khairudin bin Salimin (Imam Daerah Batu Pahat) serta pengurusan utama YaPEIM serta pemimpin masyarakat setempat.
Terima kasih di atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini khususnya kepada para penyumbang Skim Potongan Gaji Bulanan (SPG) YaPEIM yang telah memberi ruang kepada kumpulan sasar untuk turut sama menikmati kemeriahan sambutan Aidil Fitri 1437H /2016M.

Galeri Gambar (sila klik)

Sumber :http://www.yapeim.net.my/posts/inspirasi-ramadan-yapeim-1437h-di-johor/